
2 Geng Palembang ditembak mati
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN(UTUSAN MALAYSIA 9 MEI 2008)
PASUKAN Polis Khas Kontinjen Pulau Pinang mengusung mayat ahli Geng Palembang ke dalam van setelah ditembak mati di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuhraya Butterworth Kulim, semalam.
BUTTERWORTH 9 Mei - Dua ahli kumpulan samun bersenjata warga Indonesia yang sangat dikehendaki bersabit kes samun di negeri ini, ditembak mati di sini petang ini.
Dua lelaki berusia lewat 30-an dikenal pasti sebagai anggota Geng Palembang itu ditembak mati di kawasan berhampiran Plaza Tol Kubang Semang Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Kumpulan itu diburu kerana bergerak aktif menyamun pelanggan-pelanggan bank sekitar Pulau Pinang sejak tahun lalu, dengan kejayaan itu polis percaya banyak kes berkaitan dapat diselesaikan.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, dua suspek dikesan menaiki kereta Proton Iswara dan dua lagi menunggang motosikal di kawasan Padang Serai, Kedah, dekat sini hari ini.
Pasukan khas itu katanya, yang dianggotai seorang pegawai dan empat anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pulau Pinang segera bertindak mengekori mereka.
''Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang dan tidak lama kemudian seorang daripada mereka melepaskan tembakan berhampiran plaza tol berkenaan.
''Polis yang bertindak balas melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai badan kedua-dua suspek menyebabkan mereka mati di tempat kejadian.
''Bagaimanapun dua lagi suspek yang menunggang motosikal berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain beberapa senjata tajam termasuk parang di dalam kereta suspek.
Beliau memberitahu, siasatan awal menunjukkan, semua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan jenayah samun berikutan penemuan senjata-senjata berkenaan.
Polis juga katanya, sedang menyiasat status kereta yang digunakan sama ada ia dicuri atau sebaliknya.
''Modus operandi kumpulan tersebut ialah dengan menggunakan senjata termasuk pistol dan parang menaiki sebuah kereta dengan dibantu rakan mereka yang menaiki motosikal untuk menyamun mangsa," katanya.
Beliau menambah, keempat-empat pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan.