SEREMBAN 9 Jun - Polis tidak menolak dakwaan wujudnya sindiket penjualan bayi bukan saja di Johor malah membabitkan beberapa negeri lain di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zenin berkata, bagaimanapun pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar disalurkan kepada pihak polis memandangkan bukti yang sedia ada tidak mencukupi untuk menjalankan siasatan secara terperinci.
"Setakat ini kita tidak menolak dakwaan wujudnya kes-kes yang serupa bukan saja di Johor namun di negeri lain dan kita masih menyiasat mengenai kewujudan kes-kes berkenaan.
"Justeru kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat tepat berhubung sindiket penjualan bayi agar tampil memberi maklumat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci mengenai sindiket ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Tugas antara timbalannya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dengan penggantinya, Datuk Mortadza Nazarene di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Acryl dinaikkan pangkat Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Mohd. Bakri menambah, pihaknya berjaya menyelamatkan 10 bayi yang mana seorang darinya telah dikembalikan kepada penjaga mereka manakala bakinya masih di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau menambah, polis menahan dan mengambil keterangan 43 individu yang disyaki terlibat dengan sindiket haram ini namun mereka dibebaskan dengan ikat jamin dalam Ops Kasih dengan dua daripadanya terdiri dari kakitangan kerajaan di Jabatan Pendaftaran Negara.
"Dua kakitangan berkenaan masih lagi disiasat dan kita akan minta Jabatan Peguam Negara mengemukakan tuduhan terhadap mereka di bawah undang-undang sedia ada namun kita tidak menolak kemungkinan mereka akan didakwa di bawah Akta Keslamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengedarkan sijil surat beranak.
"Kita akui dalam menyelesaikan masalah berhubung kes ini bukan satu perkara mudah memandangkan polis terpaksa berdepan emosi manusia, bayangkan beratnya tugas polis apabila hendak merampas kembali bayi yang dijual kepada pasangan pembeli," katanya