Friday, May 16, 2008

Disyaki rogol rakyat China digantung kerja

KUALA LUMPUR 15 Mei - Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang disiasat dalam kes rogol seorang rakyat China, 1 April lalu, telah digantung kerja dan kini berhadapan tindakan tatatertib.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata, tindakan itu diambil kerana kedua-duanya tidak mematuhi prosedur operasi piawaian (SOP) semasa bertugas.

Katanya, bagaimanapun laporan perubatan yang diterima mengesahkan kedua-dua anggota itu tidak melakukan jenayah rogol seperti didakwa sebelum ini.

"Kita ambil tindakan kerana mereka tidak mengikut SOP semasa menjalankan tugas iaitu membawa kedua-dua wanita itu ke tempat lain dan bukan ke balai polis untuk siasatan.

"Oleh itu, tindakan tatatertib akan dikenakan dan bergantung kepada lembaga (tatatertib) untuk ambil tindakan ,termasuk boleh dibuang kerja," katanya di sini hari ini.

Pada 1 April lalu, dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal, berusia 28 dan 40 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kes seorang rakyat China dirogol.

Kedua-dua mereka sebelum itu, menahan dua wanita rakyat negara tersebut yang dipercayai pelacur, kononnya bagi membantu siasatan kes kematian rakan senegaranya.

Bagaimanapun kedua-dua anggota polis terbabit membawa salah seorang wanita itu ke satu tempat tidak diketahui sebelum dikatakan memaksanya melakukan hubungan seks di dalam kereta.

Menurut Bakri, kedua-dua wanita berkenaan dihantar pulang ke negara asal mereka setelah siasatan dilakukan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan pilih kasih terhadap anggota polis yang melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas.

Katanya, sikap tegas itu penting bagi memastikan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak tercemar ekoran segelintir anggotanya yang tidak bertanggungjawab.

No comments: