KUALA SELANGOR 30 Mei - Kegiatan sekumpulan lelaki mencuri kabel bawah tanah dengan menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) Berhad sejak setahun lalu akhirnya tumpas apabila mereka diberkas polis Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ibrahim Chin berkata, dengan tertangkapnya suspek-suspek terbabit, beliau percaya polis dapat menyelesaikan enam kes mencuri kabel yang kebanyakannya berlaku di daerah Klang.
"Modus operandi mereka adalah dengan memakai uniform kontraktor TM dan pas keselamatan seolah-olah pekerja sah.
"Mereka menjalankan aktiviti pada waktu malam dan menggunakan lori untuk menarik keluar kabel dari bawah tanah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor hari ini.
Kesemua suspek iaitu seramai tujuh orang ditangkap dalam operasi khas diketuai Inspektor Muhamad Rozaini Rosmin di beberapa lokasi berasingan di sekitar daerah Sijangkang dan Kuala Langat.
Turut ditahan tiga pekerja premis besi buruk yang membeli kabel-kabel tersebut terdiri daripada warga Bangladesh, India dan rakyat tempatan.
Polis juga merampas dua lori, sebuah van, sebuah mesin melupus logam dan kabel telekomunikasi sepanjang empat kilometer yang kesemuanya bernilai RM140,000.
Menurut Ibrahim, kesemua mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, polis turut mencari tiga lagi anggota sindiket yang masih bebas.
Pada sidang akhbar itu, Ibrahim turut mengumumkan kejayaan polis menyelesaikan lima kes jenayah lain termasuk pengedaran dadah, curi kenderaan dan bunuh.
Beliau memberitahu, polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 300 gram daripada seorang lelaki berusia 46 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Desa Coalfield berdekatan Sungai Buloh, Selasa lalu.
Katanya, dadah bernilai RM21,000 itu dipercayai untuk diedarkan kepada penagih di beberapa daerah termasuk Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Paya Jaras.
Dalam perkembangan lain, Polis Kuala Selangor berjaya menahan enam lelaki yang terlibat dengan kegiatan mencuri lori.
Kesemua lori yang dicuri akan dilupus dan alat-alat gantinya dijual.
Sementara itu, tiga lelaki ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan samun bersenjata di sekitar daerah Bestari Jaya.
Turut dirampas ialah dua bilah parang, sebilah kapak, sebilah pisau dan dua gulung rotan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment